Friday 29 November 2013

TOKOH FALSAFAH IBNU SINA



~~  ~TOKOH FALSAFAH IBNU SINA ~

                                               


1.0              PENDAHULUAN

Ibnu Sina merupakan salah seorang tokoh ilmuwan islam yang telah banyak menyumbangkan pemikirannya kepada tamadun islam sehingga sekarang pemikirannya itu masih dijadikan rujukan terutamanya dalam ilmu perubatan. Ibnu Sina juga pakar dalam ilmu falsafah, beliau telah menyatakan beberapa pandangannya tentang jiwa manusia, logik dan sebagainya.

 Ibnu Sina juga merupakan seorang karyawan yang berjaya, beliau telah menghasilkan beberapa buah buku hasil karyanya sendiri. Kitab Qanun At-tib merupakan kitab perubatan yang merungkai pelbagai jenis penyakit. Kitab ini telah diterjemah kepada beberapa bahasa dan menjadi rujukan kepada semua pelajar perubatan  sehingga zaman sekarang. Beliau juga mahir dalam ilmu matematik, fizik, agama dan lain-lain lagi.

Sumbangannya begitu besar kepada kita semua, segala pemikirannya, falsafah dan teorinya masih digunakan sehingga sekarang. Malah, ilmuwan ini telah menyumbangkan kepada dunia kemajuan dalam bidang pendidikan, perubatan dan sebagainya. Hasil sumbangannya ini telah melahirkan ramai cerdik pandai, para ilmuwan yang berjaya dan turut melahirkan pemikir moden. Ini kerana segala karya, falsafah dan pemikirannya digunakan oleh semua manusia dari zaman ke zaman.


2.0       PENGENALAN HIDUP IBNU SINA

Abu Ali al Husain ibn Abdallah ibn Sina adalah nama lengkap Ibnu Sina. Beliau dilahirkan pada tahun 370 H-428 H bersamaan 980 M – 1037 M, bertempat di Isfahan berdekatan dengan Bukhara ( Turkistan ). Ayahnya bernama Abdullah, berasal dari Baikh.  Ibnu Sina lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna.

Ibnu Sina telah mempelajari bahasa Parsi dan Arab sejak kecil lagi. Ketika beliau berumur 10 tahun, beliau telah menghafal al- Quran dan mula mempelajari ilmu perubatan ketika berumur 16 tahun. Beliau turut mempelajari ilmu mantik dari Abdullah Natili iaitu seorang ahli falsafah yang terkenal pada masa itu. ( Hery Sucipto, 2003: 113 )

Dua tahun kemudian, beliau menjadi terkenal kerana dapat menyembuhkan Nuh bin Mansur, pemerintah kerajaan Samaniyah setelah doktor-doktor lain yang berpengalaman gagal merawat sultan. Beliau turut dilantik sebagai doktor istana, melalui kesempatan ini, beliau dapat menggunakan perpustakaan istana yang sangat kaya dengan beraneka jenis buku. ( Ismail Bin Saad, 1985: 50)

Selama beberapa tahun, beliau telah mengembara di Transoxiana dan Iran sambil berkhidmat dengan pembesar-pembesar tempatan. Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, dan sebagai ahli pemerintah Shamsul al- Daulah di Hamedan. Kematian pemerintah tersebut telah menyebabkan beliau dipenjarakan selama empat bulan. Sepanjang tempoh beliau di dalam penjara, beliau telah menghasilkan tiga buah buku. Setelah dibebaskan, beliau kembali ke tempat kelahirannya dan berkhidmat sebagai doktor perubatan kepada Ata’ al- Dawlah. ( Samsu Adabi Mamat, 2002: 107)

Beliau merupakan tokoh perubatan islam dan tokoh falsafah yang berpengaruh dikalangan cerdik pandai barat dan mendapat gelaran “ Putera Di kalangan Tokoh Perubatan ”. Kecintaannya terhadap ilmu telah mendorongnya meneroka semua cabang falsafah dan sains sehingga terhasilnya karya-karyanya yang meliputi logik, mistik, perubatan, falsafah, politik, kesusasteraan, matematik, astronomi dan muzik. Beliau meninggal dunia ketika berusia 57 tahun, dan makamnya terletak di Hamedan.


3.0       KARYA IBNU SINA

Ibnu Sina telah menulis begitu banyak karya mengenai perubatan dalam bahasa Arab dan beberapa buah karyanya dalam bahasa parsi yang merungkai tentang penyakit-penyakit tertentu di samping puisi dan sajak yang meringkaskan asas-asas ilmu perubatan serta memudahkan hafalannya.

Beliau mampu menulis 50 halaman sehari dan menyusun tidak kurang daripada 238 buku dan risalah. Antara karyanya ialah Al- Qanun Fit- Tib, merupakan tentang perubatan,               Asy – Syifa’ dan An – Najat tentang falsafah, Al- Magest, tentang geometri dan ilmu hisab, Danish Namei’ Alai dan kitab Al- Insaf serta karya-karya tentang kesusasteraan dan leksikografi. Selain itu, kitab  Nafiq, iaitu berkaitan logik yang diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis dan diterbitkan pada tahun 1658 M di Paris, Pembahagian Ilmu, karya tentang ilmu muzik, manakala De Conglutiatione Lapidum merupakan karya astronomi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, di mana karya ini meghuraikan terciptanya gunung dan kerak bumi, kitab As- Siasah yang mengandungi beberapa unsur iaitu pendidikan sebagai landasan utama, rumah tangga dan politik Negara. ( Samsu Adabi Mamat, 2002: 107-108 )




3.1       Karya Kitab Qanun At-tibb

Karya Ibnu Sina yang telah menjadikannya terkenal dan dikenali sehingga sekarang ialah melalui buku Qanun fi al – Thibb ( Canon Of Mecine ). Buku ini dianggap “ kitab suci ” ilmu perubatan dunia dan telah menguasai kaedah rawatan Eropah selama lebih kurang 500 tahun. Buku ini turut menjadi panduan wajib mahasiswa perubatan di Eropah dan telah diterjemahkan dalam bahasa Ibrani, Latin, Perancis, Sepanyol, Itali dan sebagainya. ( Nurul Hanim Abdullah, 2012: 126 )

Penghasilan buku ini telah membantu para doktor  mengenalpasti akan sifat penyakit menular seperti tuberculosis (TBC ), penyebaran penyakit melalui air dan tanah dan interaksi antara ilmu psikologi dan perubatan. Ibnu Sina juga merupakan manusia  pertama yang menjelaskan tentang penyakit meningitis ( radang selaput otak ) serta memberi penjelasan yang padat mengenai anatomi, ginekologi, kesihatan kanak- kanak, serta menemui rawatan kelainan Lachrymal Fistula yang disusuli dengan penyelidikan perubatan mengenai saluran pembuluh darah.

            Ibnu Sina juga berjaya menemui pengaruh persekitaran pada jangkitan dan pengenalan kaedah kuarantin, teori penyebaran penyakit, ujian klinikal dan eksperimen bahan ubat. Beliau juga mampu menjelaskan perbezaan antara bakteria dan virus serta mendiagnosis penyakit THT dengan menggunakan mikroskop spekula khusus, serta melakukan diagnosis dengan jari untuk membezakan berbagai jenis bengkak. ( Nurul Hanim Abdullah, 2012: 127 )

            Kitab Qanun turut menjadi rujukan dalam penyelidikan anatomi yang memberi penjelasan terperinci mengenai sklera, kornea, koroid, iris, retina, lensa, urat saraf, begitu juga tentang optic chiasma. Dalam mendalami ilmu anatomi, Ibnu Sina menentang sikap andaian atau meneka. Beliau menegaskan supaya para pakar ilmu fizik dan ilmu bedah menggunakan asas pengetahuan untuk mengkaji mengenai tubuh manusia. Beliau turut mengamati bahawa aorta sebenarnya terdiri daripada tiga saluran yang terbuka semasa darah mengalir dari dalam jantung selama berfungsi dan tertutup semasa rehat sehingga tidak akan berlaku luapan aliran darah ke dalam jantung.

            Ibnu Sina juga merupakan ahli dalam bidang pergigian, beliau menjelaskan secara terperinci dengan menggunakan rumusan yang luar biasa mengenai lubang gigi. Beliau mengatakan bahawa “ tujuan perubatan membatasi apa yang dimakan, iaitu dengan memindahkan plak - plak gigi yang merosak, dan meleraikan komponen yang menyebabkan kerosakan. Oleh hal demikian, cara pertama dalam perubatan gigi ialah dengan menjaga keseimbangannya, dengan cara mempersiapkan lubang gusi agar kosong secara berterusan. Caranya ialah dengan menghilangkan komponen lubang gigi dan diperkuatkan dengan penampalan dengan komponen gigi yang sesuai untuk menggantikan komponen yang hilang yang digunakan dalam gigi. Seterusnya gigi dapat berfungsi kembali ”. ( Prof. Dr. Raghib As- Sirjani, 2011: 276 )      

Di dalam kitab Qanun, Ibnu Sina turut menjelaskan tentang hubungan antara emosi dan perubahan sistem badan, fisiologi tidur, kepentingan memurnikan air untuk diminum, pengaruh iklim terhadap kesihatan dan penyakit, kepentingan pemakanan, pemberian ubat melalui uretra, penggunaan tampon vagina, penggunaan anestetik secara oral, penggunaan haiwan dalam ujian kekuatan ubat dan rawatan penyakit gila secara cetusan malaria buatan. Ibnu Sina turut membincangkan tentang penyakit- penyakit seperti tetanus, pleuritis, kejangkitan tuberkulosis, antraks dan diabetes mellitus. Beliau juga merupakan orang pertama yang membincangkan mengenai neuralgia trigeminal dan membezakan paralisis pusat (sentral ) daripada periferi. Beliau turut memberi tanggapan mengenai penyusuan bayi bahawa susu ibu adalah paling baik.

            Beliau turut membincangkan tentang proses persediaan ubat seperti menumbuk, dan meramas. Beliau menyenarai pelbagai ubat seperti antidote, pes, preservative, jem, lozeng, pil, minyak, salap dan infusi. Senarai ini dilengkapi dengan nama sebatian, penggunaan, cara perediaan dan penyimpanan. Beliau juga menyentuh mengenai penggunaan dos dan menasihatkan supaya menggunakan rawatan secara simptomatik jika etiologi penyakit tidak jelas. ( Ismail Bin Saad, 1985: 52 )




4.0       SEJARAH FALSAFAH

Perkataan falsafah berasal daripada gabungan dua perkataan Greek, iaitu philein yang membawa maksud ‘ menyintai ’ dan sophos bermaksud ‘ hikmah ’. Oleh itu, falsafah bermaksud ‘ kecintaan terhadap hikmah ’ dan ahli falsafah bermaksud ‘ orang yang menyintai hikmah ’. berdasarkan etimologi ini, terdapat dua perkara utama, iaitu kemungkinan menyintai sesuatu walaupun tanpa memilikinya dan yang kedua ialah hikmah yang digunakan dalam konteks aktiviti intelektual dalam apa jua bidang ilmu, pemahaman, pengalaman moral, percambahan sudut pandangan dan sikap yang membawa kebahagiaan ( Ahmad Sunawari Long, 2008 : 9 ).
           
Menurut Phytagoras yang dikenali sebagai “ a lover of wisdom ” iaitu pencinta kebijaksanaan atau kebenaran, tetapi falsafah bukan hanya beerti kebenaran, ianya juga bermaksud berfikir secara benar. Selain itu, falsafah menerangkan segala sesuatu dalam erti kata lain mencari fakta-fakta kebenaran yang merupakan hakikat daripada sesuatu itu ( Prof. Dr. H. Aboebakar Atjeh, 1970:6).
           
Menurut definisi falsafah islam, falsafah telah melahirkan beberapa pengertian atau definisi yang tidak terlepas daripada keyakinan atau cara  berfikir orang yang membuatnya. Terdapat pelbagai definisi ilmu falsafah yang masing-masing berbeza menurut apa yang diutamakan oleh penciptanya. Pengaruh keyakinan hidup seseorang ahli falsafah, begitu juga keadaan ia beragama serta  kepercayaan kepada konsep ketuhanan sebagai yang disebut dalam agama atau tidak, dan selalu disalurkan ke dalam kata-kata yang digunakan untuk meringkaskan pengertian falsafah itu.
           
Dr. A. Vloemans mengemukakan beberapa definisi falsafah melalui kitabnya                     ‘Voorbereiding tot de Wijsbegeerte’ antaranya melalui pendapat Cicero yang berpendapat bahawa falsafah itu adalah pengetahuan tentang sesuatu yang maha agung dan tentang usaha untuk mencapai yang tersebut. Falsafah juga adalah induk dari segala ilmu pengetahuan, sesuatu yang diciptakan Tuhan.    

Menurut Dr. Hasbullah Bakry ilmu falsafah ialah ilmu yang menyelidiki segala sesuatu dengan mendalam mengenai ketuhanan, alam semesta dan manusia sehingga dapat menghasilkan pengetahuan tentang bagaimana hakikat dan sejauh mana akal manusia dapat mencapai pengetahuan itu serta bagaimana sikap manusia setelah mencapai pengetahuan tersebut ( Prof. Dr. H. Aboebakar Atjeh, 1970:6).


4.1       FALSAFAH IBNU SINA

4.1.1    ILMU LOGIK

Logik berasal daripada perkataan Yunani iaitu logos yang bermaksud pemikiran, pernyataan dan pengucapan. Selain itu, logik juga dapat didefinisikan sebagai ilmu yang menyelidik kebenaran pemikiran manusia melalui proses analisis dan kuasa pengadilan. Oleh itu, terdapat berbagai jenis logik bergantung pada penaklukan yang digunakan sama ada kaedah deduksi atau induksi dalam memastikan kebenaran sesuatu usul itu diperolehi.

Kaedah deduksi bermaksud penyataan yang bersifat kesimpulan atau rumusan umum kepada penyataan yang bersifat khusus. Contohnya, semua sayur mengandungi vitamin, vitamin baik untuk kesihatan, justeru semua sayur baik untuk kesihatan. Kaedah induksi pula bermaksud penyataan khusus kepada penyataan umum. Contohnya Ali adalah manusia, manusia adalah sejenis haiwan yang dapat berfikir, maka Ali adalah haiwan yang dapat berfikir ( Mardzah Makhsin 2006: 7 )

            Ibnu Sina menyatakan bahawa logik merupakan kunci falsafah, pencarian ke atasnya merupakan kunci kebahagiaan manusia. Logik membantu menarik konsep-konsep dan penilaian yang belum diketahui dari konsep-konsep dan penilaian-penilaian yang sudah diketahui sehingga meningkatkan pengetahuan kita, sebagaimana menurut Ibnu Sina pengetahuan dapat dicapai melalui penggunaan logik. Fungsi logik adalah membuka jalan untuk mengetahui sifat-sifat dasar sesuatu dengan mengambarkan sifat-sifat dasar tersebut sebagai subjek dan predikat, individual atau universal atau partikular ( K.H.Muhammad Sholikin, 2008: 154).

            Tujuan utama logik adalah menyediakan kita beberapa aturan yang akan menguatkan kita supaya tidak melakukan kesalahan penalaran. Penalaran merupakan data awal pengalaman atau prinsip-prinsip pertama pemahaman. Selain itu, penalaran merupakan deduksi yang dihasilkan dan diturunkan dari pengetahuan terdahulu dan tidak terbatas. Ianya harus memilki titik permulaan yang akan menjadi asas dari keseluruhan struktur logik. Titik permulaan tidak akan didirikan di dalam logik itu sendiri, tetapi di luarnya. Ini jelas menunjukkan bahawa logik tersebut merupakan sistem formal dan tidak berkait dengan kebenaran atau kesalahan.

            Ilmu pengetahuan didasarkan atas pengalaman dan penalaran. Ilmu pengetahuan merupakan objek , pertanyaan dan premis-premis. Ilmu pengetahuan yang berbeza mempunyai kedudukan hierarki yang sesuai dengan objek bahasanya, di mana perkara yang lebih abstrak berada di kedudukan tertinggi. Logik mempunyai persamaan khusus dengan matematik, tetapi menurut Ibnu Sina, ilmu matematik memiliki kapasiti yang dibentangkan oleh deria dan dikawal oleh imaginasi. Sementara itu, ilmu logika hanya wujud dalam intelektual murni. Oleh itu, ilmu logika lebih formal daripada matematik sehingga kedudukannya lebih tinggi daripadanya. (Saeed Syaikh, 1994: 90-93 ).

     

4.1.2    Psikologi

Ibnu Sina turut terkenal dengan hujah- hujah falsafahnya yang boleh diterima oleh masyarakat, antaranya ialah falsafahnya yang membincangkan mengenai jiwa manusia. Menurut beliau, manusia terdiri daripada tiga jiwa yang membentuk tingkah lakunya. Setiapnya mempunyai fungsi dan keperluan yang tersendiri, saling berkait antara satu sama lain dan bertindak secara sepadu yang akan mewujudkan tingkah laku manusia. Antara tiga jiwa tersebut ialah jiwa sensitif, jiwa rasional dan agen intelek. 

Manusia mempunyai jiwa sensitif iaitu di dalamnya mempunyai deria luaran yang membolehkan seseorang menghidu, merasa, menyentuh, mendengar dan melihat. Deria ini disebut sebagai pancaindera manusia yang secara langsung dapat memberi rangsangan terhadap persekitaran.

Deria dalaman pula meliputi akal budi ( common sense ), daya ingatan berimaginasi ( retentive imagination ), imaginasi kehaiwanan ( animal imagination ), imaginasi keinsanan, anggapan ( estimation ), memori dan ingatan semula ( recollection ). Nafsu (appetite ) merupakan tempat dimana diri merasakan keenakan dan kesengsaraan, suka, seronok, duka atau benci dan sebagainya.

Jiwa rasional merangkumi intelek praktikal dan intelek berfikir. Intek praktikal dapat memerhatikan sesuatu fenomena secara impirik dan pengalaman praktik dalam kehidupan manusia. Selain itu, intelek berfikir dapat mencerap sesuatu fenomena dalam pemikiran dan minda secara konseptual.

Melalui kedua- dua ini, jiwa rasional membolehkan manusia berfikir dan berhujah secara rasional dan mampu membuat analisis juga sintesis terhadap segala fenomena yang dicerap. Manusia juga dapat berfikir secara logik sebagaimana dikemukakan oleh ilmuan sains Barat Moden. Bezanya ialah, inttelek berfikir ini berada di bawah agen intelek yang merupakan agen tertinggi manusia.


Menurut Ibnu Sina, agen ini intelek merupakan agen yang tertinggi dalam perkembangan intelek manusia. Agen ini terdapat dalam diri manusia yang boleh memberikan makna tentang sesuatu yang dapat dirasai oleh jiwa sensitif dan jiwa rasional. Kehadiran makna dalam diri manusia inilah yang membangunkan ilmu dalam diri manusia. Agen intelek juga dinamakan sebagai agen intuitif atau ilham. Ilham bukanlah ilmu yang datang secara   tiba- tiba ke dalam diri manusia tanpa proses pencerapan, pemerhatian, pemikiran secara rasional, membuat perbandingan fakta dan maklumat dan menganalisis, sebaliknya dengan bantuan akal yang rasional inilah ilham akan tiba dalam diri insan. ( Mohd Yusof Othman, 1998 : 48 )



5.0       KRITIKAN PEMIKIRAN IBNU SINA

Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani. Ini kerana Tuhan merupakan Zat Yang Maha Berkuasa dan Pencipta alam ini.

Walau bagaimanapun, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Situasi ini membawa maksud, manusia haruslah menyembah hanya kepada  Allah yang satu dan paling Agung di muka bumi ini. Allah juga yang telah menjadikan semua makhluk dan alam ini mengikut apa yang dikehendakiNya. Menurutnya lagi, Allah tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun dan beliau turut menegaskan bahawa segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.


6.0       KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, Ibnu Sina telah banyak memberikan sumbangan terhadap tamadun Islam khususnya dalam bidang perubatan. Beliau seorang yang tidak mengenal putus asa, sebab itulah beliau berusaha bersungguh-sungguh dalam mempelajari sesuatu ilmu dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

            Selain itu, Ibnu Sina juga seorang yang taat beragama. Beliau sering ke masjid untuk meminta hidayah kepada Allah SWT serta berdoa kepada Allah SWT terutama apabila menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ibnu Sina memiliki akal yang cerdas dan sangat tekun dalam mempelajari sesuatu. Ini kerana beliau pernah membaca buku metafizik karangan Aristotle sebanyak 40 kali.

Ibnu Sina juga mahir dalam bidang anatomi iaitu mengenai kedudukan organ dan tubuh badan manusia. Beliau merupakan orang pertama yang membuat kajian tentang fungsi mata iaitu penglihatan dan fungsi mata. Walaupun Ibnu Sina terkenal dengan ilmu perubatan, beliau juga pakar dalam kemahiran lain seperti matematik, falsafah dan agama.

Ketiadaan Ibnu Sina dianggap sebagai kehilangan yang amat besar kepada dunia kerana beliau merupakan seorang yang berilmu pengetahuan tinggi dan berpengalaman. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah mempunyai semangat berusaha dan jangan cepat putus asa seperti Ibnu Sina. Sesungguhnya, Ibnu Sina bukan sahaja masyhur dalam bidang perubatan, malah hebat dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri, Abu Al-Nasr Al-Farabi (Al-Farabi).








RUJUKAN

Ahmad Zainul Hamdi. September 2004. Tujuh Filsuf Muslim,Pustaka Pesantren, Yogyakarta.

Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Hery Sucipto. Oktober 2003. Ensiklopedia Tokoh Islam. Penerbit Hikmah, Jakarta Selatan.

Ismail Bin Saad. 1985. Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan. Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.

Mardzelah Makhsin. 2006. Sains Pemikiran & Etika. Pts Professional Publishing Sdn. Bhd. 2006.

Prof. Dr. H. Aboebakar Atjeh. 1970. Sejarah falsafah islam. C.V. Ramadhani, Semarang.

Prof. Dr. Rashib As-Sirjani. 2010. Sumbangan Peradaban Islam Pada Dunia. Pusat Al- Kautsar.

Samsu Adabi Mamat & Wan Ramli Wan Muhamad. 2002. Cendekiawan Islam perintis peradaban manusia. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.

Saeed Syaikh. 1994. Studies In Muslim Philosophy. Adam Publishers & Distributors.

Wahyu. 2013. 99 ilmuwan muslim perintis sains moden wahyu. Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd. Batu Caves, Selangor.

Tuesday 1 October 2013

TAWAKAL KEPADA ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah, kali pertama tulis blog dan ad blog..hehe..jadi saya ingin berkongsi sedikit dengan kawan-kawan semua tentang TAWAKAL..

Bertawakal kepada Allah S.W.T adalah kewajipan atau tugas hati yang merupakan penyimpul keimanan, tugas ini wajib ditunaikan kepada Allah S.W.T. Ini kerana, kesempurnaan tauhid dan kesempurnaan iman tidak akan dicapai melainkan dengan kesempurnaan sifat tawakal terhadap Allah Yang Maha Mengetahui, sebagaimana firman-Nya:-

" Dan hendaklah kepada Allah sahaja kamu berserah ( bertawakal ), jika benar kamu orang yang beriman".

Hamba yang benar-benar bertawakal kepada Allah S.W.T. tidak akan menggantungkan harapan dan tidak akan takut kepada selain Allah S.W.T..ia tidak mencari sesuatu matlamat selain daripada keredhaan Allah S.W.T., tidak minta ditunaikan hajat kecuali daripada-Nya, tidak menggantungkan keinginan kecuali kepada Allah S.W.T, dan tidak memohon sesuatu kecuali kepada Allah S.W.T.