Wednesday, 25 June 2014

Dakwah Nabi Isa

NABI ISA AS Nabi Isa as. dilahirkan di Betlehem, beliau dilahirkan oleh seorang wanita suci yang bernama Maryam bin Imran. Nabi Isa as. tidak mempunyai seorang ayah kerana Maryam tidak bersuami. Suatu ketika, Maryam telah didatangi oleh Malaikat Jibril. Malaikat Jibril telah memberi penjelasan kepada Maryam bahawa beliau akan dikuruniakan oleh Allah SWT seorang anak lelaki sekalipun tidak bersuami. Namun, Maryam berasa malu untuk mempunyai anak karena beliau belum bernikah. Akan tetapi, ini adalah kehendak Allah SWT, kerana anak yang bakal dilahirkan oleh Maryam Allah akan jadikan sebagai nabi dan rasul ( Abul Fidaa Ismail 2001:674). Ketika tempoh melahirkan anaknya semakin hampir, Maryam telah pergi meninggalkan Baitul Maqdis dan berpindah ke tempat asal kelahirannya di Annashirah. Di sana, beliau tinggal di dalam sebuah rumah dusun bagi menjauhkan diri daripada masyarakat, kaum kerabat keluarganya sehinggakan beliau tidak mahu menemui mereka kerana enggan nama keluarganya tercemar disebabkan keadaan dirinya ketika itu. Di bawah sebuah pohon kurma di satu tempat yang bernama ‘ Baitullahmi’, disitulah Isa atau Yashu dalam Bahasa Ibrani dilahirkan tanpa pertolongan sesiapapun ( Abu Mazaya Al-Hafiz 2014:804). Setelah Isa berumur beberapa hari Maryam telah kembali ke rumah di Annashirah. Allah SWT telah memberi petunjuk kepada Maryam bahawa apabila beliau ditanya mengenai anak yang dibawanya itu, beliau hendaklah menjawab yang beliau sedang berpuasa dan bernazar untuk tidak berbicara. Sepanjang perjalanannya untuk pulang ke rumahnya, orang ramai mula bertanya pelbagai soalan kepadanya. Mereka berkata : “ Hai Maryam , bayi siapakah yang kau bawa itu ?” Maryam hanya berdiam diri dan menunjukn bayinya. Dari mulut bayi tersebut keluarlah kata-kata : “ Sesungguhnya aku ini adalah hamba Allah SWT, Allah SWT meberiku kitab suci, menjadikan aku seorang Nabi. Aku diberkati oleh-Nya di manapun aku berada dan kepadaku diwasiatkan untuk melakukan solat dan zakat sepanjang hidupku dan berbakti terhadap ibuku dan tidaklah dia menjadikan aku seorang yang sombong dan celaka. Dan semoga kesejahteraan dan kedamaian dilimpahkan kepadaku di hari lahirku dan di hari aku meninggal serta di hari aku dibangkitkan hidup semula.” Maka diamlah orang-orang yang bertanya kepada Maryam. Mereka percaya bahwa Maryam adalah gadis suci yang dipilih Allah SWT utuk melahirkan bayi yang nantinya akan dijadikan sebagai nabi dan rasul oleh Allah SWT ( Abu Mazaya Al-Hafiz 2014:806). Berita kelahiran bayi ajaib yang merupakan mukjizat Allah untuk menutup mulut-mulut yang membuat fitnah dan melontarkan tuduhan-tuduhan keji kepada Maryam yang suci bersih itu telah tersebar meluas ke seluruh pelosok kota. Mereka tidak menghentikan fitnah yang mencemarkan dan menyentuh nama baik wanita pilihan iaitu Maryam ibu Isa. Namun begitu, terdapat masyarakat juga masyarakat yang telah berubah tanggapannya terhadap Maryam dan bayinya, mereka sedar dan percaya bahawa Maryam adalah gadis pilihan Allah untuk melahirkan seorang bayi yang akan menjadi orang suci besar dan menunjukkan kepada umat manusia jalan yang lurus ( Abul Fidaa Ismail 2001:680). SIAPAKAH ISA AL-MASEH Nabi Isa (a.s) adalah merupakan putera kepada Maryam binti Imran, dimana baginda dilahirkan pada hari selasa bersamaan 24 dari bulan kanun awal sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w dengan selisih selama 600 tahun ( Muhammad Ali Ashabuuni 2010 : 315). Kinayahnya, beliau dibinkan kepada ibunya Maryam binti Imran kerana dia lahir tanpa bapa sedangkan dia diistilahkan kepada Yusyu’, yang bermaksud orang yang bersih, adapun dalam Injil dipanggil Yusu dan Sis ( ibid : 301). Menurut sebahagian ulama Isa digelar al-Maseh kerana ia mengusap bumi dan membersihkannya serta usahanya untuk menyelamatkan agama dari fitnah di zaman itu kerana hebatnya pembohongan orang-orang yahudi kepadanya dan bagaimana usaha mereka untuk menciptakan dusta pada baginda dan ibu baginda. Al-Maseh, dinamakan dengan nama yang sedemikian kerana baginda suci dari dosa-dosa. Perkataan al-Maseh merupakan derivatif dari kata Masaha al-Ardh (menyucikan tanah ) kerana tidak tetap berada di tempatnya. Ada pula mengatakan bahawa baginda dinamakan demikian kerana orang sakit yang dibasuh oleh baginda, maka penyakitnya akan sembuh. Al-Masih di dalam pengertian bahasa melayu adalah “menghapus” atau “menutupi” dan turut membawa makna “yang mengembara”. Justeru untuk Nabi Isa, Al-Maseh dipakaikan gelaran itu kerana Nabi Isa as menghapus penyakit-penyakit manusia melalui tangannya dengan izin Allah ( Abul Fidaa Ismail 2001: 768). Sebahagian ahli sejarah muslim berkata, “ dinamakan al-Maseh kerana membasuh tanah dan berjalan di atas bumi serta lari dengan membawa agamanya untuk menghindari fitnah pada waktu orang-orang yahudi mendustakannya dan membuat isu tentang diri baginda dan juga ibu baginda” (Ahmad Muhammad Ahmad Al-Mughani 2010 : 177 ). Hadis Islam menegaskan bahawa Nabi Isa a.s. ibni Maryam, ialah Nabi dan Al-Maseh yang dihantar kepada Bani Israel yang dijanjikan, dan bahawa baginda sekali lagi akan kembali ke Bumi pada Hari Kiamat, bersama-sama dengan Imam Mahdi, dan mereka akan mengalahkan Masih-Al-Dajjal, iaitu "Masih palsu" atau Anti-Al-Masih. Nabi Isa akan menyatukan umat Islam di bawah tujuan yang sama iaitu menyembah Allah mengikut ajaran Islam yang sebenar, dengan itu menamatkan perpecahan dan penyelewengan ( Abul Fidaa Ismail 2001: 769). DILANTIK SEBAGAI NABI Al Quran tidak menerangkan secara terperinici mengenai tarikh kenabian Nabi Isa (a.s) tetapi mengikut keterangan kitab-kitab Injil telah bersepakat bahawa kenabian Nabi Isa (a.s) di atas umur 30 tahun, demikian juga menurut ahli tafsir. Ulama Tauhid berkata bahawa kenabian Nabi Isa (a.s) itu di atas umur 40 tahun. Hal ini demikian kerana dikatakan Nabi Isa (a.s) dilantik menjadi nabi berumur 30 tahun kerana baginda diangkat ke langit sebelum sampai berumur 40 tahun (Muhammad Ali Ashabuuni 2010 : 319 ). Dalil atas kenabian Nabi Isa (a.s) dalam firman Allah surah as-saff : 6. “ Dan (Ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: "Hai Bani Israil, Sesungguhnya Aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan Kitab sebelumku, yaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)." Maka tatkala Rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: "Ini adalah sihir yang nyata." Nabi Isa menerima tugas berat yang tersedia baginya, iaitu tugas kenabian dan risalah yang diamanatkan oleh Allah kepadanya untuk disampaikan kepada Bani Israel yang telah jauh menyimpang dari ajaran-ajaran Nabi Musa yang semakin merosak syariatnya dan mengabaikan hukum-hukum serta perintah-perintahnya. Nabi Isa menerima wahyu dengan tugas kenabian ketika baginda bersama ibunya berada di atas bukit “Zaitun”. Ketika baginda menunaikan solat di atas bukit itu, baginda melihat satu sinaran cahaya yang gemerlap diikuti oleh serombongan malaikat yang tidak terhitung bilangannya. Para malaikat itu mengelilinginya, lalu Malaikat Jibril telah memberi sebuah kitab yang berkilau-kilau seperti sebuah cermin kepada baginda ( Abul Fidaa Ismail 2001: 685). Nabi Isa a.s mengisytiharkan kenabiannya kepada Bani Israil dengan mengajak mereka kembali kepada syariat Nabi Musa a.s yang telah mereka langgar kesucian dan kemuliaannya, hukum-hukamnya ditokok tambah serta dikurangi sekehendak hawa nafsu mereka, apa yang halal diharamkan dan apa yang haram dihalalkan disesuaikan dengan kepentingan duniawi mereka. Hari Sabtu yang menurut syariat Nabi Musa a.s adalah hari cuti yang dikhususkan untuk melakukan ibadah, telah diubah oleh Bani Israil menjadi hari untuk bersenang-senang dan berlomba-lomba mencari harta dan kekayaan. Manakala golongan kaya dan hartawan tidak lagi mahu mengeluarkan sedekah dan sumbangan kepada gereja dan kepada para fakir miskin sebagaimana diajarkan oleh agama. Malah, sebagian dari mereka menjadi murtad, mengingkari adanya hari Qiamat, adanya hari kebangkitan, adanya hisab dan pembalasan dengan syurga dan neraka di akhirat. Kemaksiatan dan kefasikan menjadi pekerjaan yang biasa dilakukan oleh mereka secara terbuka tanpa ada yang menegur atau mencelanya. Bahkan ramai daripada para pemuka agama yang berlagak seolah-olah seorang-orang saleh, taat dan bertaqwa kepada Tuhan, sedangkan secara sembunyi dan diam mereka melakukan berbagai kemungkaran dan kemaksiatan ( Abu Mazaya Al-Hafiz 2014:815). Demkianlah gambaran keadaan masyarakat Bani Isra’il sewaktu Nabi Isa datang dengan wahyu risalah dan kenabiannya. Baginda berdakwah mengajak mereka kembali kejalan yang benar, jalan yang telah dirintis oleh Nabi Musa dan para Nabi sebelumnya. Mereka dinasihati agar meninggalkan kemaksiatan dan kefasikan, mentaati serta mengikuti ajaran Musa yang murni sesuai dengan isi kitab Taurat sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah kepadanya tanpa sebarang tokok tambah dan ubah suai ( Abu Mazaya Al-Hafiz 2014: 816). Para pendeta dan pemuka-pemuka Bani Isra’il merasa tergugat. Mereka merasa tergugat dengan kedudukan dan kewibawaan mereka dengan kedatangan Nabi Isa a.s. yang mengajak manusia kembali kepada ajaran-ajaran Nabi Musa a.s. yang murni. Mereka khuatir dakwah Nabi Isa a.s. akan berjaya membongkar tembelang dan kegiatan-kegiatan mereka yang bertopengkan agama dengan tujuan untuk memperoleh keuntungan material dan memperkaya diri. Pemalsuan yang dibuat oleh mereka ke atas hukum dan syariat Nabi Musa a.s. amat melampau sehingga menyebabkan umat semakin merosak ( Abu Mazaya Al-Hafiz 2014: 816). Mereka cuba menghasut masyarakat dengan berbagai tuduhan dan fitnah bahawa Nabi Isa a.s. adalah seorang pendusta yang datang hendak merosak dan menghancurkan agama Nabi Musa a.s. yang dianuti oleh Bani Israel. Mereka turut menuntut agar Nabi Isa a.s. membuktikan kebenaran risalahnya di hadapan orang ramai dengan tanda-tanda yang mereka dapat saksikan dengan mata mereka sendiri. Tujuan tuntutan itu adalah supaya pengaruh dan kewibawaan Nabi Isa a.s. di mata masyarakat akan hilang apabila baginda gagal memenuhinya. Akan tetapi, Nabi Isa a.s. memang sudah dibekali oleh Allah dengan beberapa mukjizat untuk menghadapi Bani Israel yang keras kepala menjawab tuntutan mereka dengan mengatakan bahawa dia telah diberi oleh Allah beberapa mukjizat yang dapat membuktikan risalahnya ( Abu Mazaya Al-Hafiz 2014: 816). Sebahagian daripada Bani Israel sedar bahawa apa yang dipertunjukkan oleh Nabi Isa a.s. adalah benar-benar tanda kekuasaan Tuhan yang diberikan kepadanya untuk membuktikan bahawa baginda adalah rasul dan pesuruh-Nya. Kejayaan baginda dengan mendapat pengikut yang semakin hari semakin bertambah bilangannya telah menimbulkan kemarahan dan rasa iri hati di kalangan pendeta dan pemuka-pemuka agama. mereka merancang untuk menyingkirkan Nabi Isa a.s. dan menghalaunya daripada kalangan mereka, namun Allah tetap melindungi baginda daripada segala tipu muslihat mereka dan mengembalikan rancangan jahat dan perbuatan curang mereka menimpa diri mereka sendiri. Sebagaimana firman Allah SWT : Ertinya : “ Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.” ( Ali Imran : 54) DAKWAH NABI ISA (A.S) i) Melalui mukjizat yang diberikan oleh Allah kepada baginda. Antaranya ialah : i) Mukjizat kelahirannya yang sangat mengagumkan. Dimana beliau lahir tanpa seorang bapa daripada rahim seorang wanita yang masih perawan ( Ahmad Bahjat 2001 : 423 ). ii) Beliau diangkat oleh Allah ke langit semasa penguasa yang zalim ingin menyalib baginda. Dimana semasa baginda ditangkap untuk disalib, Allah telah menukarkan wajah baginda dengan Yahudza al-Ashuryuthi, salah seorang golongan Hawariyyun yang munafik. Dimana dia telah memberitahu pihak musuh tentang kedudukan dimana Nabi Isa (a.s) berada (Muhammad Ali Ashabuuni 2010 : 322). iii) Baginda boleh mengetahui tentang perkara-perkara yang ghaib. Dimana baginda mampu memberitahu kaumnya tentang makanan dan minuman apa yang disimpan di dalam rumah mereka tanpa baginda masuk ke dalam rumah mereka terlebih dahulu atau mendapat maklumat daripada orang lain terlebih dahulu. Mukjizat ini menetapkan bahawa pancaindera bukanlah nilai yang hakiki (Ahmad Bahjat 2001 : 424 ). iv) Baginda mampu berbicara dengan manusia ketika masih di buaian. Dimana ketika orang-orang Yahudi menuduh Ibu baginda iaitu Maryam binti Imran melakukan pelacuran kerana melahirkan anak tanpa seorang bapa. Lalu Allah Taala menurunkan mukjizatnya kepada nabi Isa untuk berbicara bagi mempertahankan kesucian Ibu baginda. Hal ini merupakan mukjizat yang paling besar kerana mukjizat tersebut mampu untuk membuka mata orang-orang yahudi tentang keagungan dan kekuasaan Allah Taala ( Ahmad Bahjat 2001 : 409 ). v) Baginda mampu menyembuhkan penyakit dan menghidupkan orang telah mati. Para ahli tafsir mengatakan bahawa Nabi Isa (a.s) menghidupkan empat orang manusia. Pertama, al-Azir iaitu temannya. Kemudiannya, dua orang anak lelaki daripada seorang ibu yang tua. Mereka ini adalah yang meninggal pada zaman Nabi Isa (a.s). Manusia yang keempat adalah Sam bin Nuh, dimana atas permintaan orang yahudi. Lalu baginda menghidupkan Sam bin Nuh. Namun, apabilah dihidupkan, rambut beliau kelihatan sudah beruban yang menunjukkan bahawa beliau takut memikirkan tentang hal akhirat sehingga membuatkan rambut beliau berubah menjadi warna putih. Namun begitu, baginda menghidupkan orang-orang yang telah mati adalah dengan izin-Nya ( Ahmad Bahjat 2001 : 433 ). ii) Baginda mengajak manusia untuk menyembah Allah yang maha Esa. Antara dakwah penting Nabi Isa (a.s) adalah dengan mengajak manusia mentauhidkan Allah Taala, iaitu dengan menolak sangkaan Nabi Isa (a.s) adalah anak Tuhan atau Tuhan (Sulaiman Ibrahim 2001 : 141). Baginda berdakwah di jalan Allah dengan didukung oleh Ruhul Kuddus serta mukjizat-mukjizat yang luar biasa. Antara inti dakwahnya adalah baginda mengatakan bahawa tidak ada perantara antara Pencipta dan makhluk, tidak ada perantara antara seorang penyembah dengan yang disembah. Allah Taala menurunkan kitab Injil kepada Nabi Isa (a.s). Kitab Injil adalah kitab suci yang datang untuk membenarkan Kitab Taurat dan berusaha menghidupkan syariatnya yang pertama. Kitab Injil adalah kitab yang cahaya, petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang bertakwa. Baginda ingin meluruskan tafsiran orang-orang yahudi terhadap syariat dimana mereka menyampaikan tafsiran orang-orang yahudi terhadap syariat itu secara harfiah dan sesuai dengan kepentingan mereka (Ahmad Bahjat 2001 : 427). Al-Quran menegaskan bahawa dakwah al-Masih adalah dakwah Tauhid. Al-Quran juga turut mengatakan bahawa al-Masih terlepas dari tuduhan yang dialamatkan kepadanya, iaitu tuduhan bahawa ia anak Tuhan atau ia justeru Tuhan itu sendiri. “Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakannya) iaitu : “sembahlah Allah, Tuhanku, dan Tuhanmu” (ibid : 427). iii) Baginda menyeru kaumnya supaya berakhlak mulia Baginda memberi gambaran akhlak mulia bagi dirinya dan juga untuk kaumnya ( Sulaiman Ibrahim 2001 : 142 ). Firman Allah dalam surah Maryam : 32 Ertinya : “ Dan berbakti kepada ibuku, dan dia tidak menjadikan Aku seorang yang sombong lagi celaka.” Dalam firman Allah di atas, jelaslah menunjukkan baginda menyeru kaumnya agar sentiasa berbakti kepada orang tua, tidak sombong dan takabur di atas muka bumi Allah ini. Baginda juga turut mengingatkan kaumnya agar menjauhi sifat munafik, tamak, dan gila pujian. Begitu juga baginda turut mengingatkan mereka menjauhi sifat rakus terhadap kekayaan dunia (Abdul Rahman bin Mohd Adil 2009 : 281)