Thursday, 26 December 2013
Friday, 29 November 2013
TOKOH FALSAFAH IBNU SINA
~~ ~TOKOH FALSAFAH IBNU SINA ~
1.0
PENDAHULUAN
Ibnu Sina merupakan salah seorang tokoh ilmuwan islam
yang telah banyak menyumbangkan pemikirannya kepada tamadun islam sehingga
sekarang pemikirannya itu masih dijadikan rujukan terutamanya dalam ilmu
perubatan. Ibnu Sina juga pakar dalam ilmu falsafah, beliau telah menyatakan
beberapa pandangannya tentang jiwa manusia, logik dan sebagainya.
Ibnu Sina juga merupakan seorang karyawan yang
berjaya, beliau telah menghasilkan beberapa buah buku hasil karyanya sendiri.
Kitab Qanun At-tib merupakan kitab perubatan yang merungkai pelbagai jenis
penyakit. Kitab ini telah diterjemah kepada beberapa bahasa dan menjadi rujukan
kepada semua pelajar perubatan sehingga zaman
sekarang. Beliau juga mahir dalam ilmu matematik, fizik, agama dan lain-lain
lagi.
Sumbangannya
begitu besar kepada kita semua, segala pemikirannya, falsafah dan teorinya
masih digunakan sehingga sekarang. Malah, ilmuwan ini telah menyumbangkan
kepada dunia kemajuan dalam bidang pendidikan, perubatan dan sebagainya. Hasil
sumbangannya ini telah melahirkan ramai cerdik pandai, para ilmuwan yang
berjaya dan turut melahirkan pemikir moden. Ini kerana segala karya, falsafah
dan pemikirannya digunakan oleh semua manusia dari zaman ke zaman.
2.0 PENGENALAN HIDUP IBNU SINA
Abu
Ali al Husain ibn Abdallah ibn Sina adalah nama lengkap Ibnu Sina. Beliau
dilahirkan pada tahun 370 H-428 H bersamaan 980 M – 1037 M, bertempat di
Isfahan berdekatan dengan Bukhara ( Turkistan ). Ayahnya bernama Abdullah,
berasal dari Baikh. Ibnu Sina lebih
dikenali di Barat dengan nama Avicenna.
Ibnu
Sina telah mempelajari bahasa Parsi dan Arab sejak kecil lagi. Ketika beliau
berumur 10 tahun, beliau telah menghafal al- Quran dan mula mempelajari ilmu
perubatan ketika berumur 16 tahun. Beliau turut mempelajari ilmu mantik dari
Abdullah Natili iaitu seorang ahli falsafah yang terkenal pada masa itu. ( Hery
Sucipto, 2003: 113 )
Dua
tahun kemudian, beliau menjadi terkenal kerana dapat menyembuhkan Nuh bin
Mansur, pemerintah kerajaan Samaniyah setelah doktor-doktor lain yang
berpengalaman gagal merawat sultan. Beliau turut dilantik sebagai doktor
istana, melalui kesempatan ini, beliau dapat menggunakan perpustakaan istana
yang sangat kaya dengan beraneka jenis buku. ( Ismail Bin Saad, 1985: 50)
Selama
beberapa tahun, beliau telah mengembara di Transoxiana dan Iran sambil
berkhidmat dengan pembesar-pembesar tempatan. Beliau dilantik sebagai Perdana
Menteri sebanyak dua kali, dan sebagai ahli pemerintah Shamsul al- Daulah di
Hamedan. Kematian pemerintah tersebut telah menyebabkan beliau dipenjarakan
selama empat bulan. Sepanjang tempoh beliau di dalam penjara, beliau telah
menghasilkan tiga buah buku. Setelah dibebaskan, beliau kembali ke tempat
kelahirannya dan berkhidmat sebagai doktor perubatan kepada Ata’ al- Dawlah. (
Samsu Adabi Mamat, 2002: 107)
Beliau
merupakan tokoh perubatan islam dan tokoh falsafah yang berpengaruh dikalangan
cerdik pandai barat dan mendapat gelaran “ Putera Di kalangan Tokoh Perubatan
”. Kecintaannya terhadap ilmu telah mendorongnya meneroka semua cabang falsafah
dan sains sehingga terhasilnya karya-karyanya yang meliputi logik, mistik,
perubatan, falsafah, politik, kesusasteraan, matematik, astronomi dan muzik.
Beliau meninggal dunia ketika berusia 57 tahun, dan makamnya terletak di
Hamedan.
3.0 KARYA IBNU SINA
Ibnu
Sina telah menulis begitu banyak karya mengenai perubatan dalam bahasa Arab dan
beberapa buah karyanya dalam bahasa parsi yang merungkai tentang
penyakit-penyakit tertentu di samping puisi dan sajak yang meringkaskan
asas-asas ilmu perubatan serta memudahkan hafalannya.
Beliau
mampu menulis 50 halaman sehari dan menyusun tidak kurang daripada 238 buku dan
risalah. Antara karyanya ialah Al- Qanun Fit- Tib, merupakan tentang
perubatan, Asy – Syifa’
dan An – Najat tentang falsafah, Al- Magest, tentang geometri dan
ilmu hisab, Danish Namei’ Alai dan kitab Al- Insaf serta
karya-karya tentang kesusasteraan dan leksikografi. Selain itu, kitab Nafiq, iaitu berkaitan logik yang
diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis dan diterbitkan pada tahun 1658 M di
Paris, Pembahagian Ilmu, karya tentang ilmu muzik, manakala De
Conglutiatione Lapidum merupakan karya astronomi yang diterjemahkan ke
dalam bahasa Latin, di mana karya ini meghuraikan terciptanya gunung dan kerak
bumi, kitab As- Siasah yang mengandungi beberapa unsur iaitu pendidikan
sebagai landasan utama, rumah tangga dan politik Negara. ( Samsu Adabi Mamat,
2002: 107-108 )
3.1 Karya Kitab Qanun At-tibb
Karya
Ibnu Sina yang telah menjadikannya terkenal dan dikenali sehingga sekarang
ialah melalui buku Qanun fi al – Thibb ( Canon Of Mecine ). Buku ini dianggap “
kitab suci ” ilmu perubatan dunia dan telah menguasai kaedah rawatan Eropah
selama lebih kurang 500 tahun. Buku ini turut menjadi panduan wajib mahasiswa
perubatan di Eropah dan telah diterjemahkan dalam bahasa Ibrani, Latin,
Perancis, Sepanyol, Itali dan sebagainya. ( Nurul Hanim Abdullah, 2012: 126 )
Penghasilan
buku ini telah membantu para doktor mengenalpasti akan sifat penyakit menular
seperti tuberculosis (TBC ), penyebaran penyakit melalui air dan tanah dan
interaksi antara ilmu psikologi dan perubatan. Ibnu Sina juga merupakan manusia pertama yang menjelaskan tentang penyakit
meningitis ( radang selaput otak ) serta memberi penjelasan yang padat mengenai
anatomi, ginekologi, kesihatan kanak- kanak, serta menemui rawatan kelainan
Lachrymal Fistula yang disusuli dengan penyelidikan perubatan mengenai saluran
pembuluh darah.
Ibnu Sina juga berjaya menemui
pengaruh persekitaran pada jangkitan dan pengenalan kaedah kuarantin, teori
penyebaran penyakit, ujian klinikal dan eksperimen bahan ubat. Beliau juga
mampu menjelaskan perbezaan antara bakteria dan virus serta mendiagnosis
penyakit THT dengan menggunakan mikroskop spekula khusus, serta melakukan
diagnosis dengan jari untuk membezakan berbagai jenis bengkak. ( Nurul Hanim
Abdullah, 2012: 127 )
Kitab
Qanun turut menjadi rujukan dalam penyelidikan anatomi yang memberi penjelasan
terperinci mengenai sklera, kornea, koroid, iris, retina, lensa, urat saraf,
begitu juga tentang optic chiasma. Dalam mendalami ilmu anatomi, Ibnu Sina
menentang sikap andaian atau meneka. Beliau menegaskan supaya para pakar ilmu
fizik dan ilmu bedah menggunakan asas pengetahuan untuk mengkaji mengenai tubuh
manusia. Beliau turut mengamati bahawa aorta sebenarnya terdiri daripada tiga
saluran yang terbuka semasa darah mengalir dari dalam jantung selama berfungsi
dan tertutup semasa rehat sehingga tidak akan berlaku luapan aliran darah ke
dalam jantung.
Ibnu
Sina juga merupakan ahli dalam bidang pergigian, beliau menjelaskan secara
terperinci dengan menggunakan rumusan yang luar biasa mengenai lubang gigi.
Beliau mengatakan bahawa “ tujuan perubatan membatasi apa yang dimakan, iaitu
dengan memindahkan plak - plak gigi yang merosak, dan meleraikan komponen yang
menyebabkan kerosakan. Oleh hal demikian, cara pertama dalam perubatan gigi
ialah dengan menjaga keseimbangannya, dengan cara mempersiapkan lubang gusi
agar kosong secara berterusan. Caranya ialah dengan menghilangkan komponen
lubang gigi dan diperkuatkan dengan penampalan dengan komponen gigi yang sesuai
untuk menggantikan komponen yang hilang yang digunakan dalam gigi. Seterusnya
gigi dapat berfungsi kembali ”. ( Prof. Dr. Raghib As- Sirjani, 2011: 276 )
Di dalam kitab Qanun,
Ibnu Sina turut menjelaskan tentang hubungan antara emosi dan perubahan sistem
badan, fisiologi tidur, kepentingan memurnikan air untuk diminum, pengaruh
iklim terhadap kesihatan dan penyakit, kepentingan pemakanan, pemberian ubat
melalui uretra, penggunaan tampon vagina, penggunaan anestetik secara oral,
penggunaan haiwan dalam ujian kekuatan ubat dan rawatan penyakit gila secara
cetusan malaria buatan. Ibnu Sina turut membincangkan tentang penyakit-
penyakit seperti tetanus, pleuritis, kejangkitan tuberkulosis, antraks dan
diabetes mellitus. Beliau juga merupakan orang pertama yang membincangkan
mengenai neuralgia trigeminal dan membezakan paralisis pusat (sentral )
daripada periferi. Beliau turut memberi tanggapan mengenai penyusuan bayi
bahawa susu ibu adalah paling baik.
Beliau
turut membincangkan tentang proses persediaan ubat seperti menumbuk, dan
meramas. Beliau menyenarai pelbagai ubat seperti antidote, pes, preservative,
jem, lozeng, pil, minyak, salap dan infusi. Senarai ini dilengkapi dengan nama
sebatian, penggunaan, cara perediaan dan penyimpanan. Beliau juga menyentuh
mengenai penggunaan dos dan menasihatkan supaya menggunakan rawatan secara
simptomatik jika etiologi penyakit tidak jelas. ( Ismail Bin Saad, 1985: 52 )
4.0 SEJARAH
FALSAFAH
Perkataan
falsafah berasal daripada gabungan dua perkataan Greek, iaitu philein yang
membawa maksud ‘ menyintai ’ dan sophos bermaksud ‘ hikmah ’. Oleh itu,
falsafah bermaksud ‘ kecintaan terhadap hikmah ’ dan ahli falsafah bermaksud ‘
orang yang menyintai hikmah ’. berdasarkan etimologi ini, terdapat dua perkara
utama, iaitu kemungkinan menyintai sesuatu walaupun tanpa memilikinya dan yang
kedua ialah hikmah yang digunakan dalam konteks aktiviti intelektual dalam apa
jua bidang ilmu, pemahaman, pengalaman moral, percambahan sudut pandangan dan
sikap yang membawa kebahagiaan ( Ahmad Sunawari Long, 2008 : 9 ).
Menurut Phytagoras yang dikenali sebagai “ a lover of wisdom ” iaitu
pencinta kebijaksanaan atau kebenaran, tetapi falsafah bukan hanya beerti
kebenaran, ianya juga bermaksud berfikir secara benar. Selain itu, falsafah
menerangkan segala sesuatu dalam erti kata lain mencari fakta-fakta kebenaran
yang merupakan hakikat daripada sesuatu itu ( Prof. Dr. H. Aboebakar Atjeh,
1970:6).
Menurut definisi falsafah islam, falsafah telah melahirkan beberapa
pengertian atau definisi yang tidak terlepas daripada keyakinan atau cara berfikir orang yang membuatnya. Terdapat
pelbagai definisi ilmu falsafah yang masing-masing berbeza menurut apa yang
diutamakan oleh penciptanya. Pengaruh keyakinan hidup seseorang ahli falsafah,
begitu juga keadaan ia beragama serta
kepercayaan kepada konsep ketuhanan sebagai yang disebut dalam agama
atau tidak, dan selalu disalurkan ke dalam kata-kata yang digunakan untuk
meringkaskan pengertian falsafah itu.
Dr. A. Vloemans mengemukakan beberapa definisi falsafah melalui
kitabnya
‘Voorbereiding tot de Wijsbegeerte’ antaranya melalui pendapat Cicero
yang berpendapat bahawa falsafah itu adalah pengetahuan tentang sesuatu yang
maha agung dan tentang usaha untuk mencapai yang tersebut. Falsafah juga adalah
induk dari segala ilmu pengetahuan, sesuatu yang diciptakan Tuhan.
Menurut Dr. Hasbullah Bakry ilmu falsafah ialah ilmu yang menyelidiki
segala sesuatu dengan mendalam mengenai ketuhanan, alam semesta dan manusia
sehingga dapat menghasilkan pengetahuan tentang bagaimana hakikat dan sejauh
mana akal manusia dapat mencapai pengetahuan itu serta bagaimana sikap manusia
setelah mencapai pengetahuan tersebut ( Prof. Dr. H. Aboebakar Atjeh, 1970:6).
4.1 FALSAFAH
IBNU SINA
4.1.1 ILMU LOGIK
Logik berasal daripada perkataan Yunani
iaitu logos yang bermaksud pemikiran, pernyataan dan pengucapan. Selain itu,
logik juga dapat didefinisikan sebagai ilmu yang menyelidik kebenaran pemikiran
manusia melalui proses analisis dan kuasa pengadilan. Oleh itu, terdapat berbagai
jenis logik bergantung pada penaklukan yang digunakan sama ada kaedah deduksi
atau induksi dalam memastikan kebenaran sesuatu usul itu diperolehi.
Kaedah deduksi
bermaksud penyataan yang bersifat kesimpulan atau rumusan umum kepada penyataan
yang bersifat khusus. Contohnya, semua sayur mengandungi vitamin, vitamin baik
untuk kesihatan, justeru semua sayur baik untuk kesihatan. Kaedah induksi pula
bermaksud penyataan khusus kepada penyataan umum. Contohnya Ali adalah manusia,
manusia adalah sejenis haiwan yang dapat berfikir, maka Ali adalah haiwan yang
dapat berfikir ( Mardzah Makhsin 2006: 7 )
Ibnu
Sina menyatakan bahawa logik merupakan kunci falsafah, pencarian ke atasnya
merupakan kunci kebahagiaan manusia. Logik membantu menarik konsep-konsep dan
penilaian yang belum diketahui dari konsep-konsep dan penilaian-penilaian yang
sudah diketahui sehingga meningkatkan pengetahuan kita, sebagaimana menurut
Ibnu Sina pengetahuan dapat dicapai melalui penggunaan logik. Fungsi logik
adalah membuka jalan untuk mengetahui sifat-sifat dasar sesuatu dengan
mengambarkan sifat-sifat dasar tersebut sebagai subjek dan predikat, individual
atau universal atau partikular ( K.H.Muhammad Sholikin, 2008: 154).
Tujuan
utama logik adalah menyediakan kita beberapa aturan yang akan menguatkan kita
supaya tidak melakukan kesalahan penalaran. Penalaran merupakan data awal
pengalaman atau prinsip-prinsip pertama pemahaman. Selain itu, penalaran
merupakan deduksi yang dihasilkan dan diturunkan dari pengetahuan terdahulu dan
tidak terbatas. Ianya harus memilki titik permulaan yang akan menjadi asas dari
keseluruhan struktur logik. Titik permulaan tidak akan didirikan di dalam logik
itu sendiri, tetapi di luarnya. Ini jelas menunjukkan bahawa logik tersebut
merupakan sistem formal dan tidak berkait dengan kebenaran atau kesalahan.
Ilmu
pengetahuan didasarkan atas pengalaman dan penalaran. Ilmu pengetahuan
merupakan objek , pertanyaan dan premis-premis. Ilmu pengetahuan yang berbeza
mempunyai kedudukan hierarki yang sesuai dengan objek bahasanya, di mana
perkara yang lebih abstrak berada di kedudukan tertinggi. Logik mempunyai
persamaan khusus dengan matematik, tetapi menurut Ibnu Sina, ilmu matematik
memiliki kapasiti yang dibentangkan oleh deria dan dikawal oleh imaginasi. Sementara
itu, ilmu logika hanya wujud dalam intelektual murni. Oleh itu, ilmu logika
lebih formal daripada matematik sehingga kedudukannya lebih tinggi daripadanya.
(Saeed Syaikh, 1994: 90-93 ).
4.1.2 Psikologi
Ibnu Sina turut
terkenal dengan hujah- hujah falsafahnya yang boleh diterima oleh masyarakat,
antaranya ialah falsafahnya yang membincangkan mengenai jiwa manusia. Menurut
beliau, manusia terdiri daripada tiga jiwa yang membentuk tingkah lakunya.
Setiapnya mempunyai fungsi dan keperluan yang tersendiri, saling berkait antara
satu sama lain dan bertindak secara sepadu yang akan mewujudkan tingkah laku
manusia. Antara tiga jiwa tersebut ialah jiwa sensitif, jiwa rasional dan agen
intelek.
Manusia mempunyai jiwa
sensitif iaitu di dalamnya mempunyai deria luaran yang membolehkan seseorang
menghidu, merasa, menyentuh, mendengar dan melihat. Deria ini disebut sebagai
pancaindera manusia yang secara langsung dapat memberi rangsangan terhadap
persekitaran.
Deria dalaman pula
meliputi akal budi ( common sense ), daya ingatan berimaginasi (
retentive imagination ), imaginasi kehaiwanan ( animal imagination ),
imaginasi keinsanan, anggapan ( estimation ), memori dan ingatan semula (
recollection ). Nafsu (appetite ) merupakan tempat dimana diri
merasakan keenakan dan kesengsaraan, suka, seronok, duka atau benci dan
sebagainya.
Jiwa rasional
merangkumi intelek praktikal dan intelek berfikir. Intek praktikal dapat
memerhatikan sesuatu fenomena secara impirik dan pengalaman praktik dalam
kehidupan manusia. Selain itu, intelek berfikir dapat mencerap sesuatu fenomena
dalam pemikiran dan minda secara konseptual.
Melalui kedua- dua ini,
jiwa rasional membolehkan manusia berfikir dan berhujah secara rasional dan
mampu membuat analisis juga sintesis terhadap segala fenomena yang dicerap.
Manusia juga dapat berfikir secara logik sebagaimana dikemukakan oleh ilmuan
sains Barat Moden. Bezanya ialah, inttelek berfikir ini berada di bawah agen
intelek yang merupakan agen tertinggi manusia.
Menurut Ibnu Sina, agen
ini intelek merupakan agen yang tertinggi dalam perkembangan intelek manusia.
Agen ini terdapat dalam diri manusia yang boleh memberikan makna tentang
sesuatu yang dapat dirasai oleh jiwa sensitif dan jiwa rasional. Kehadiran
makna dalam diri manusia inilah yang membangunkan ilmu dalam diri manusia. Agen
intelek juga dinamakan sebagai agen intuitif atau ilham. Ilham bukanlah ilmu
yang datang secara tiba- tiba ke dalam
diri manusia tanpa proses pencerapan, pemerhatian, pemikiran secara rasional,
membuat perbandingan fakta dan maklumat dan menganalisis, sebaliknya dengan
bantuan akal yang rasional inilah ilham akan tiba dalam diri insan. ( Mohd
Yusof Othman, 1998 : 48 )
5.0 KRITIKAN
PEMIKIRAN IBNU SINA
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat
dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga
bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk
mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah
Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi
Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di
alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan
fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan
Yahudi dan Nasrani. Ini kerana Tuhan
merupakan Zat Yang Maha Berkuasa dan Pencipta alam ini.
Walau bagaimanapun, Ibnu
Sina tidak pernah menolak kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t. Dalam buku
An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai
"Wajib al-Wujud" ialah satu. Situasi ini
membawa maksud, manusia haruslah menyembah hanya kepada Allah yang satu dan paling Agung di muka bumi
ini. Allah juga yang telah menjadikan semua makhluk dan alam ini mengikut apa
yang dikehendakiNya. Menurutnya lagi, Allah tidak berbentuk dan
tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun dan beliau turut
menegaskan bahawa segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada
"Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.
6.0 KESIMPULAN
Secara
keseluruhannya, Ibnu Sina telah banyak memberikan sumbangan terhadap tamadun
Islam khususnya dalam bidang perubatan. Beliau seorang yang tidak mengenal
putus asa, sebab itulah beliau berusaha bersungguh-sungguh dalam mempelajari
sesuatu ilmu dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Selain
itu, Ibnu Sina juga seorang yang taat beragama. Beliau sering ke masjid untuk
meminta hidayah kepada Allah SWT serta berdoa kepada Allah SWT terutama apabila
menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ibnu Sina memiliki
akal yang cerdas dan sangat tekun dalam mempelajari sesuatu. Ini kerana beliau
pernah membaca buku metafizik karangan Aristotle sebanyak 40 kali.
Ibnu Sina juga mahir dalam
bidang anatomi iaitu mengenai kedudukan organ dan tubuh badan manusia. Beliau
merupakan orang pertama yang membuat kajian tentang fungsi mata iaitu
penglihatan dan fungsi mata. Walaupun Ibnu Sina terkenal dengan ilmu perubatan,
beliau juga pakar dalam kemahiran lain seperti matematik, falsafah dan agama.
Ketiadaan Ibnu Sina dianggap
sebagai kehilangan yang amat besar kepada dunia kerana beliau merupakan seorang
yang berilmu pengetahuan tinggi dan berpengalaman. Oleh itu, kita sebagai umat
Islam haruslah mempunyai semangat berusaha dan jangan cepat putus asa seperti
Ibnu Sina. Sesungguhnya, Ibnu Sina bukan sahaja masyhur dalam bidang perubatan,
malah hebat dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri, Abu Al-Nasr
Al-Farabi (Al-Farabi).
RUJUKAN
Ahmad
Zainul Hamdi. September 2004. Tujuh Filsuf Muslim,Pustaka Pesantren,
Yogyakarta.
Ahmad
Sunawari Long. 2008. Sejarah falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi.
Hery
Sucipto. Oktober 2003. Ensiklopedia Tokoh Islam. Penerbit Hikmah,
Jakarta Selatan.
Ismail
Bin Saad. 1985. Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan. Dewan
Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.
Mardzelah
Makhsin. 2006. Sains Pemikiran & Etika. Pts Professional Publishing
Sdn. Bhd. 2006.
Prof. Dr. H. Aboebakar
Atjeh. 1970. Sejarah falsafah islam. C.V. Ramadhani, Semarang.
Prof.
Dr. Rashib As-Sirjani. 2010. Sumbangan Peradaban Islam Pada Dunia. Pusat
Al- Kautsar.
Samsu
Adabi Mamat & Wan Ramli Wan Muhamad. 2002. Cendekiawan Islam perintis
peradaban manusia. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, Kuala
Lumpur.
Saeed
Syaikh. 1994. Studies In Muslim Philosophy. Adam Publishers &
Distributors.
Wahyu.
2013. 99 ilmuwan muslim perintis sains moden wahyu. Al-Hidayah House of
Publishers Sdn. Bhd. Batu Caves, Selangor.
Tuesday, 1 October 2013
TAWAKAL KEPADA ALLAH
Bismillahirrahmanirrahim....
Alhamdulillah, kali pertama tulis blog dan ad blog..hehe..jadi saya ingin berkongsi sedikit dengan kawan-kawan semua tentang TAWAKAL..
Bertawakal kepada Allah S.W.T adalah kewajipan atau tugas hati yang merupakan penyimpul keimanan, tugas ini wajib ditunaikan kepada Allah S.W.T. Ini kerana, kesempurnaan tauhid dan kesempurnaan iman tidak akan dicapai melainkan dengan kesempurnaan sifat tawakal terhadap Allah Yang Maha Mengetahui, sebagaimana firman-Nya:-
" Dan hendaklah kepada Allah sahaja kamu berserah ( bertawakal ), jika benar kamu orang yang beriman".
Hamba yang benar-benar bertawakal kepada Allah S.W.T. tidak akan menggantungkan harapan dan tidak akan takut kepada selain Allah S.W.T..ia tidak mencari sesuatu matlamat selain daripada keredhaan Allah S.W.T., tidak minta ditunaikan hajat kecuali daripada-Nya, tidak menggantungkan keinginan kecuali kepada Allah S.W.T, dan tidak memohon sesuatu kecuali kepada Allah S.W.T.
Alhamdulillah, kali pertama tulis blog dan ad blog..hehe..jadi saya ingin berkongsi sedikit dengan kawan-kawan semua tentang TAWAKAL..
Bertawakal kepada Allah S.W.T adalah kewajipan atau tugas hati yang merupakan penyimpul keimanan, tugas ini wajib ditunaikan kepada Allah S.W.T. Ini kerana, kesempurnaan tauhid dan kesempurnaan iman tidak akan dicapai melainkan dengan kesempurnaan sifat tawakal terhadap Allah Yang Maha Mengetahui, sebagaimana firman-Nya:-
" Dan hendaklah kepada Allah sahaja kamu berserah ( bertawakal ), jika benar kamu orang yang beriman".
Hamba yang benar-benar bertawakal kepada Allah S.W.T. tidak akan menggantungkan harapan dan tidak akan takut kepada selain Allah S.W.T..ia tidak mencari sesuatu matlamat selain daripada keredhaan Allah S.W.T., tidak minta ditunaikan hajat kecuali daripada-Nya, tidak menggantungkan keinginan kecuali kepada Allah S.W.T, dan tidak memohon sesuatu kecuali kepada Allah S.W.T.
Subscribe to:
Posts (Atom)